Seorang anggota polis berpangkat koperal dilaporkan maut selepas van yang dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Felda Sahabat 16 pada Jumaat.
Anggota Polis Meninggal Di Lokasi Kejadian
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu telah mengakibatkan mangsa yang berusia 44 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu iaitu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail memaklumkan bahawa, ketika kejadian mangsa yang memandu van polis dalam perjalanan dari arah Komtek Sahabat 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menuju ke Pantai Sahabat 16.
“Sebaik tiba di lokasi, sebatang pokok yang berada di bahu kanan jalan tiba-tiba tumbang dan menghempap van dipandu mangsa.
“Kejadian itu turut disaksikan seorang lagi anggota polis yang sedang menunggang motosikal dari arah bertentangan dan hasil pemeriksaan mangsa telah meninggal dunia di lokasi tersebut.
“Sampel darah mangsa juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk ujian seterusnya,” jelasnya.
Katanya lagi, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: Sinar Harian