Seorang wanita yang memandu van sekolah cedera selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam kemalangan membabitkan kenderaan yang dipandunya dengan sebuah treler bermuatan simen di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Bandar Dato Onn, semalam.

Van Sekolah Bertembung Treler, Pemandu Wanita Tersepit & Tiga Murid Cedera

Dalam insiden kira-kira jam 1 tengah hari itu, van berkenaan dipercayai sedang membawa 22 murid yang baru pulang dari sekolah. Tiga murid mengalami kecederaan ringan manakala 19 lagi tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu treler, seorang lelaki berusia 32 tahun pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhamad Azizi Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.10 tengah hari dan segera menggerakkan anggota dari BBP Tebrau serta BBP Kempas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan van sekolah dan treler. Pemandu wanita van sekolah yang berusia 45 tahun tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat mengambil masa lebih 30 minit dengan penggunaan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Tiga kanak-kanak iaitu seorang murid lelaki dan dua murid perempuan turut mengalami kecederaan ringan.

“Semua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut,” jelasnya dalam kenyataan.

Kesemua pelajar lain berada dalam keadaan stabil dan tidak memerlukan rawatan lanjut.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]