Mahkamah Sesyen baru-baru ini memerintahkan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, untuk membela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan memuat naik kandungan video sumbang kelepuk raya pada tiga tahun lalu.

Video Kelepuk Raya: Aliff Syukri Diperintah Bela Diri Atas Empat Pertuduhan

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Ahmad Fuad Othman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam penghakimannya, beliau menyatakan bahawa kandungan video yang dimuat naik oleh Aliff Syukri ketika bulan Ramadan dianggap tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.

Kes ini mendapat perhatian apabila Aliff Syukri didakwa memuat naik empat video menerusi akaun Instagramnya, @aliffsyukriterlajaklaris, pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022, yang dikatakan mengandungi elemen yang boleh menyinggung perasaan orang ramai.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam bela yang mewakili Aliff Syukri, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd Radzlan Jalaludin, memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan hujah pembelaan dalam peringkat seterusnya. Sementara itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.

Terdahulu, kontroversi tercetus apabila muzik video lagu raya yang diterbitkan oleh Aliff Syukri pada tahun 2022 menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak kerana menampilkan aksi yang dianggap tidak sesuai, termasuk elemen yang dikaitkan dengan budaya LGBT.

Dengan keputusan mahkamah semalam, Aliff Syukri kini perlu menyediakan pembelaannya terhadap pertuduhan yang dihadapinya. Prosiding kes akan bersambung dalam sesi perbicaraan yang ditetapkan kemudian.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]