Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial yang memaparkan sebuah kereta peronda polis (MPV) berhenti di hadapan sebuah restoran mamak selepas melalui laluan di tengah deretan kedai di Sungai Buloh.
![]()
Video MPV Polis Ambil Bungkusan Di Kedai Mamak Tular, Polis Jalankan Siasatan
Dalam rakaman tersebut, seorang pekerja restoran dilihat menghampiri kenderaan berkenaan sebelum menyerahkan dua bungkusan plastik berwarna putih kepada individu yang berada di dalam MPV tersebut. Kejadian dipercayai berlaku pada waktu siang dan menarik perhatian orang ramai selepas video berkenaan tersebar di media sosial.
![]()
Susulan penularan rakaman itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi meneliti insiden berkenaan. Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan salah laku sehingga boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran disiplin, selain menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan andaian tidak berasas berkaitan kejadian itu.
Kredit: Sinar Harian