Pelakon jelita Fasha Sandha dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran sebuah drama, semalam.

Menerusi perkongsian di Instagram, mata aktres itu cedera akibat terjatuh ketika menjayakan salah satu babak di set penggambaran drama bertajuk Anak Tuan arahan Along Kamaludin.

Menerusi kenyataan dibuat pihak pengurusannya, Fasha cedera selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan babak bersama pelakon Azhan Rani.

Video yang dikongsikan menunjukkan Azhan menarik rambut Fasha sebelum menolaknya dan kemudian menyebabkan kepala Fasha terhentak di bucu berkenaan.

“Fasha sedang rehat secukupnya selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika berlakon di set pengambaran Anak tuan TV3 pada 1 mac (pagi semalam)

“Mata dan kepalanya terhentak di bucu katil yang tajam. Tulang mata kiri patah dan bebola mata bengkak serta berdarah.”

“Mohon jasa baik peminat untuk mendoakan Fasha,” tambahnya lagi.

Fasha dilihat menangis kesakitan dan turut kedengaran suara Azhan memohon maaf sewaktu kejadian itu.

Dari kenyataan tersebut, Fasha difahamkan akan dipindahkan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Khamis bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pihak produksi juga telah meminta maaf kepada Fasha Sandha dan keluarga.

Namun, Fasha tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana perkara sebegitu terjadi di luar jangkaan dan menganggapnya sebagai sebuah kemalangan. Fasha seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya.

[fbcomments]