Baru-baru ini tular di laman TikTok berkenaan seorang kanak-kanak lelaki yang memasuki acara larian dengan memakai tongkat akibat ketiadaan sebelah kaki. Video yang tular itu telah mendapat perhatian netizen yang turut mengundang sebak apabila melihat kegigihan adik itu menghabiskan lariannya hingga ke garisan penamat.

@faridkamaruddin18

Aku tahu kau orang paling kuat dik. Terima kaseh cikgu bagi sokongan sehingga ke penamat. #luarbiasa #ppki #fyp

♬ Jangan Pernah Menyerah – Arnas19🐱

Malu Nak Lari Depan Orang Ramai Tapi Nak Teruskan Juga

“Malu sebenarnya nak lari depan orang ramai tapi saya teruskan juga larian kerana nak sampai ke garisan penamat macam rakan yang lain”, luah Muhammad Aqil Naufal Zahiran yang merupakan kanak-kanak OKU itu. Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, Muhammad Aqil yang berusia 11 tahun itu merupakan murid Program Pendidikan Inklusif Penuh (PPI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 1, dan beliau sememangnya aktif dalam bidang sukan terutamanya dalam bidang bola sepak.

Gambar Sumber: Harian Metro

Guru Bagi Sokongan Kuat Untuk Sertai Acara Larian

Aqil yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkongsi kisah penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023 adalah kali pertama beliau mengambil bahagian kerana mendapat sokongan dan dorangan daripada guru.

“Cikgu minta saya ambil bahagian jadi saya pun cuba dan sempat ikuti latihan selama empat hari sebelum hari kejohanan. Nak kata gementar sangat tidak tapi kaki terketar-ketar juga kerana fikirkan ramai orang tengok saya waktu itu. Saya pula kali pertama ambil bahagian jadi malu berdiri sebelah peserta lain tapi teruskan larian walaupun seluar hampir terlondeh kerana fikir apa pun berlaku, saya nak habiskan larian sekalipun rakan lain sudah jauh di depan”, katanya.

“Lega dan tak sangka apabila dapat sampai juga ke garisan penamat. Gembira rasanya terutama apabila cikgu datang ucap tahniah kepada saya”, luahnya lagi ketika ditemu bual oleh media Harian Metro.

Gambar Sumber: Harian Metro

Kaki Kudung Sejak 2015 Akibat Jangkitan Kuman

“Saya minat main bola tetapi jika diberi peluang sertai lagi lumba lari, saya sedia ambil bahagian”, ujar Aqil lagi yang kudung kaki kirinya sejak 2015 kerana dipotong akibat jangkitan kuman. Adik ini juga merupakan anak yatim kerana kehilangan bapa tersayang pada dua tahun yang lalu.

Sementara itu, guru pengiring Aqil iaitu Zulaikha Jusoh meluahkan rasa tersentuh dan bangga apabila melihat kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan anak muridnya itu berjaya menghabiskan larian hingga ke penamat. “Sebelum acara bermula, saya ada pesan pada Muhammad Aqil yang saya tak paksa dia menang kerana niat saya cuma nak dia sertai aktiviti sukan serta bawa dia keluar. Saya harap dia habiskan larian sampai ke garisan penamat tapi kalau tak larat atau sakit, saya enggan dia paksa diri kerana faham keadaannya. Tak sangka dia memberikan saingan juga di awal larian dan sampai ke garisan penamat itu yang buat saya kagum dengan semangatnya” kata Zulaikha.

Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Aqil dikhabarkan tidak dapat menghadiri ke acara anaknya pada hari tersebut atas urusan kerja. Walaupun begitu, ibunya amat berbangga dengan pencapaian anaknya sungguhpun tidak mendapat tempat di atas podium.

Kredit: Harian metro

[fbcomments]