Seorang wanita yang mengalami kecederaan parah akibat dirempuh kayu balak dalam kejadian tragis di lampu isyarat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Selasa lalu bakal menjalani pembedahan besar.

Difahamkan Siti Norelyana Kamaruzaman, 21, terpaksa menjalani pembedahan membuang buah pinggang yang rosak serta pembedahan lain pada tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru, dan hempedu yang turut mengalami kecederaan serius.

Beberapa Organ Dalaman Mengalami Luka Serius

Menurut kakak mangsa yang bernama Ujiriah, 41, adiknya yang merupakan anak ke-10 daripada 12 beradik adalah seorang yang sangat kuat dalam menghadapi kesakitan ini.

“Syukur, keadaan adik kini stabil dan dia masih dalam pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Doktor telah merancang untuk menjalankan beberapa pembedahan penting termasuk membuang buah pinggangnya yang rosak serta merawat kecederaan lain.

“Namun, mereka perlu menunggu sehingga keadaan adik benar-benar stabil sebelum boleh melaksanakan pembedahan tersebut,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Pada masa yang sama, Ujiriah juga memohon orang ramai untuk mendoakan kesembuhan buat adiknya itu agar kembali pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Media sebelum ini melaporkan insiden yang hampir meragut nyawa Siti Norelyana apabila motosikal yang ditungganginya dihempap kayu balak semasa dia berhenti di lampu isyarat. Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.20 pagi itu dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan lain.

Kayu balak tersebut terjatuh daripada sebuah lori yang terbalik semasa mengambil selekoh di laluan bersebelahan menyebabkan Siti Norelyana tercampak dari motosikalnya. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo menjelaskan bahawa penyambung lori balak tersebut patah ketika melalui selekoh menyebabkan kayu balak tergolek dan menimpa Siti Norelyana.

Difahamkan pemandu lori berkenaan tidak memiliki lesen memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]