fbpx

Seorang wanita dan seorang ahli keluarganya hampir menjadi mangsa samun apabila sekumpulan lelaki bertindak memecahkan cermin kereta mereka di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) pada awal pagi semalam.

Kejadian mencemaskan itu dikongsikan oleh pengguna platform X yang dikenali sebagai @nafasafiqah, yang menceritakan detik-detik menakutkan keluarganya di sebuah stesen minyak berhampiran Subang Jaya.

Video di bawah:

https://x.com/nafasafiqah/status/1820992550330880201

Wanita Nyaris Disamun Lelaki Bersenjata

Menurut @nafasafiqah, insiden tersebut berlaku setelah ibu mentua dan kakak iparnya selesai mengisi minyak di stesen tersebut. Dia turut memuat naik rakaman dashcam yang menunjukkan kejadian itu sebaik sahaja keluarganya meninggalkan stesen minyak berkenaan. Dalam rakaman tersebut, kelihatan cermin kereta mereka dipecahkan oleh suspek-suspek yang bersenjata.

Berdasarkan laporan media, kejadian berlaku sekitar jam 1.37 pagi dan mangsa telah membuat aduan kepada pihak berkuasa. Dalam laporan tersebut, mangsa menceritakan bahawa empat lelaki tidak dikenali, bersenjatakan kayu telah menyerang mereka.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya iaitu Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati suspek yang menunggang motosikal telah menghalang kenderaan mangsa dengan memberhentikan motosikal di hadapan kereta tersebut. Kemudian, suspek menghayunkan kayu ke arah cermin kereta mangsa sehingga pecah.

Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika didapati bersalah.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis kini giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek-suspek tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Liew Wai Leong di talian 014-6884167 atau melaporkan kepada balai polis berhampiran.

Kredit: X nafasafiqah, Malaysia Gazette

[fbcomments]