fbpx

Seorang lelaki yang juga penunggang motosikal berkuasa tinggi dilaporkan maut selepas merempuh sebuah kenderaan pikap dari belakang yang berhenti secara mengejut disebabkan cuba mengelak dari seorang wanita yang melintas lebuh raya.

Mangsa Maut Di Tempat Kejadian

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Haziq Ramli, 34, dan kejadian tersebut berlaku di Kilometer 98.6 di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, pada jam 4.25 petang Jumaat.

Mangsa dilaporkan maut ditempat kejadian dan menurut Ketua Polis Daerah Termerloh iaitu Asisten Komisioner Mazlan Hassan, beliau memaklumkan bahawa nahas berlaku ketika motosikal berkuasa tinggi dan pikap itu dalam perjalanan dari arah Kuantan Ke Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita yang berusia 35 tahun memberhentikan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya di bahu jalan dan bertindak melintasi lebuh raya berkenaan.

“Pemandu pacuan empat roda (pikap) terbabit bertindak membrek secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh wanita itu. Pada masa sama datang sebuah motosikal berkuasa tinggi dari arah belakang, melanggar belakang pacuan empat roda terbabit.

“Akibat rempuhan itu, penunggang terbabit terjatuh di lorong kanan lebuh raya dan motosikal ditunggangi mangsa tercampak ke bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan,” jelasnya.

Tambah Mazlan, susulan itu wanita berkenaan serta penumpang SUV iaitu seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]