Seorang wanita yang sebelum ini tular kerana bertindak agresif terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menggigitnya di Bazar Ramadan dan Aidilfitri sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Benteng akhirnya tampil memberi penjelasan.
@aatv.inforakyat Kisah sebenar kenapa “makcik” viral ni gigit pegawai DBKL… Sebelum gigit telah dikasari… #peniaga #bazaarramadan #DBKL #DBKLmainkasar #beritatrending #bazaar #trending #viral #beritaviral #kualalumpur #ramadan
Wanita Gigit Penguat Kuasa DBKL Akhirnya Buka Mulut, Dedah Punca Sebenar Insiden
Dalam satu temubual menerusi laman TikTok Aizat Ashraf | Info Rakyat yang dimuat naik pada Selasa, wanita berkenaan, yang hanya dikenali sebagai Wawa, menjelaskan bahawa tindakannya itu bukan disengajakan, sebaliknya berpunca daripada tekanan emosi pada waktu kejadian.
Menurut Wawa, dia ketika itu sedang berusaha merayu agar kenderaannya tidak disita kerana kunci berada dalam simpanan suaminya yang tiada di lokasi kejadian.
“Saya cuma meminta sedikit budi bicara daripada pihak berkuasa kerana kunci kenderaan dipegang oleh suami yang tidak berada di tempat kejadian. Saya merayu agar diberi masa untuk mengalihkan kenderaan tersebut,” katanya dalam rakaman video berkenaan.
Tambahnya lagi, dia mendakwa telah mengalami kekerasan fizikal oleh anggota penguat kuasa yang bertugas, namun enggan memanjangkan isu tersebut.
“Saya akui kesalahan saya kerana menghalang tugas penjawat awam, tetapi saya juga ingin mempertikaikan etika kerja mereka. Tidak sepatutnya ada kekerasan terhadap saya. Bagaimanapun, saya memilih untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara baik,” katanya.
Dalam pada itu, Wawa turut memohon maaf kepada pihak berkuasa atas insiden tersebut dan memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan, meskipun tidak memperincikan tindakan selanjutnya.
Terdahulu, pada Isnin, media melaporkan bahawa Wawa telah dikenakan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan bahawa wanita berusia 30 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Selepas pengakuan bersalah dibuat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadapnya.
Kredit: Majoriti Official, TikTok aatv.inforakyat