Tiada sesiapa mahu hidup bergelumang dengan hutang. Orang yang dibebani hutang tidak berasa tenang dan bebas jika sebahagian besar pendapatannya terpaksa digunakan untuk membayar pelbagai jenis hutang.
Bila masuk saja gaji, hati terus serabut melihat baki yang tinggal. Barangkali hanya dapat dibuat belanja untuk beberapa minggu saja sebelum ‘bekalan’ putus.
Namun jalan cerita setiap orang itu tidak sama dan setiap orang mempunyai cabaran kewangan tersendiri dan berbeza-beza. Begitulah yang terjadi kepada wanita ini sehingga kisahnya menarik perhatian warganet dan juga Menteri Hal Ehwal Agama.
Ingin jual buah pinggang
Baru-baru ini personaliti televisyen, pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya ada memuat naik satu mesej yang diterima daripada seorang wanita yang meminta bantuannya untuk bertanyakan kepada orang ramai sama ada memerlukan buah pinggang ataupun tidak.
Wanita itu nekad menjual organ buah pinggang miliknya disebabkan kesempitan hidup yang dialami.
Perkongsian sekeping foto yang tidak bernama itu hanya menunjukkan individu tersebut memohon sekiranya ada kenalan atau pesakit memerlukan buah pinggang, dia ingin menjual buah pinggangnya sendiri kerana atas desakan hidup dan hutang.
Pihak Zakat Selangor menghulurkan bantuan
Perkongsian yang dilakukan oleh Fedtri Yahya itu telah mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri.
Beliau memberitahu bahawa wanita tersebut sebenarnya sedang hamil dan sudah pun dibantu oleh Pusat Zakat Selangor. Pihak pusat zakat telah menyalurkan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada wanita itu.
Ada yang mengatakan kemungkinan individu itu tersebut telah dibuang kerja akibat pandemik Covid-19 atau mungkin sesuatu kejadian buruk telah menimpanya.