Seorang pempengaruh TikTok yang berasal dari Indonesia iaitu Lina Mukherjee telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun oleh mahkamah selepas memuat naik sebuah video yang mempersendakan agama pada beberapa bulan yang lalu.
Hina Agama Islam
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, wanita yang berusia 33 tahun tersebut didapati bersalah kerana berkongsi video secara awam yang mencetuskan kebencian agama terhadap individu dan kumpulan agama tertentu. Difahamkan, video tersebut dimuat naik pada Mac lalu dimana kandungan tersebut memaparkan beliau melafazkan ucapan “Bismillah” sebelum memakan kulit babi yang rangup.
Dalam ajaran Islam yang juga merupakan agama dominan di Indonesia, daging babi adalah haram. Tindakan Mukherjee yang juga beragama Islam turut dikutuk oleh kumpulan konservatif termasuk badan ulama tertinggi negara itu, Majlis Ulama Indonesia, yang mengeluarkan keputusan menyebut video itu menghina agama. Disebabkan oleh itu, isu tersebut telah mendapat perhatian wargamaya sehingga tercetusnya perbalahan yang melibatkan agama.
Didenda 250 Juta Rupiah (RM76K) Dan Penjara Dua Tahun
Menurut sumber lagi, wanita tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun serta denda sebanyak 250 juta rupiah (RM76,046.86) atas dakwaan dan kesalahan yang dikenakan. Sekiranya beliau gagal untuk membuat sebarang bayaran, hukuman penjara yang dikenakan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.
Terdahulu, wanita ini telah menerima kecaman hebat dari netizen angkara tindakannya yang menghina agama sendiri iaitu dengan memakan kulit babi sambil membaca bismillah. Difahamkan, kes ini adalah kes terbaharu menghina agama yang menggemparkan negara majoriti Islam tersebut.
Kredit: Berita Harian