Hasrat seorang wanita untuk membantu insan lain terlaksana selepas keluarganya bersetuju membenarkan pihak hospital melakukan prosedur pendermaan kornea sejurus kematiannya semalam.

Wanita Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Kornea Didermakan Untuk Insan Lain

Mangsa, Darna, 41, disahkan meninggal dunia pada jam 8.37 pagi di Hospital Tawau selepas tujuh hari bertarung nyawa akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu individu dipercayai mabuk pada 10 Ogos lalu.

Adiknya, Sanni Tajudin, 34, berkata arwah pernah menyuarakan keinginan menderma organ setelah mengetahui beliau sendiri telah berikrar sebagai penderma.

“Cuma arwah belum sempat daftar. Saya selalu cakap, tunggu kalau ada kempen pendermaan organ nanti daftarlah. Tak sangka akhirnya hasrat itu jadi kenyataan walaupun dia sudah tiada. Selain itu, arwah juga seorang penderma darah tegar, sangat suka membantu orang lain,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak berkuasa meneruskan siasatan terhadap pemandu pikap terbabit dan memastikan individu berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Rakan karib mangsa, Suarni Sudirman, 36, pula berkata arwah ada menunjukkan perubahan sebelum kejadian, termasuk beberapa pesanan terakhir yang kini dianggap sebagai tanda pemergiannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), Sudirman Nanang, menyifatkan arwah sebagai ahli yang aktif, ceria serta sentiasa menyokong aktiviti kelab.

Katanya, kelab berkenaan turut menganjurkan Jualan Amal bagi membantu keluarga mangsa dan berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM9,335.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]