fbpx

Seorang wanita dilaporkan maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda pada Selasa semalam.

Mangsa Ditetak Di Bahagian Belakang Leher & Bahu Kiri Dengan Parang Sehingga Parah

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, difahamkan kejadian tersebut berlaku pada jam 11.10 pagi dan mangsa merupakan warga tempatan berusia 42 tahun telah cedera parah di belakang leher dan bahu. Mangsa sempat dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) namun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, beliau memaklumkan bahawa pegawai penyiasat bersama sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan berhubung insiden terbabit.

“Pemeriksaan mendapati kawasan itu mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian, selain ada saksi melihat kejadian terbabit. Mangsa ditetak di bahagian belakang leher dan bahu kiri dengan parang sehingga parah. Mangsa kemudian dibawa ke HSJ untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia jam 11.58 pagi sebelum mayat dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat” jelasnya.

Suspek Terjun Jambatan Namun Dapat Diberkas Polis

Mohd Asri turut menambah susulan kematian mangsa, polis menjejaki suspek yang berusia 29 tahun terbabit dan berjaya ditahan.

“Selepas kejadian suspek didapati terjun dari Jambatan Pulau Pinang namun berjaya diselamatkan orang awam dan diserahkan kepada polis. Suspek kini menerima rawatan di hospital berhampiran. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]