Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Sri Gading, Batu Pahat, yang mengorbankan seorang wanita pada Ahad malam.
Wanita Melecur 74 Peratus Meninggal Dunia, Kes Diklasifikasi Semula Sebagai Kes Bunuh
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, memaklumkan bahawa kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa, seorang ibu kepada tiga anak, di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9 malam, Rabu lalu, berpunca daripada pertengkaran antara mangsa berusia 31 tahun dengan suspek, seorang lelaki berusia 29 tahun.
Pergaduhan itu dipercayai memuncak sehingga berlakunya insiden penggunaan pemetik api dan minyak petrol, yang seterusnya mencetuskan kebakaran di rumah berkenaan. Api yang marak turut menyebabkan kecederaan kepada kedua-dua individu terbabit.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur serius dengan tahap kebakaran sekitar 74 peratus, manakala suspek pula mengalami kecederaan sekitar 13.5 peratus. Rumah terbabit juga mengalami kemusnahan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan strukturnya,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada awalnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api. Namun, selepas kematian mangsa disahkan sekitar jam 9.54 malam Ahad, siasatan dikemaskini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian tersebut, mangsa dan suspek dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba. Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram serta BBP Batu Pahat, bersama lima jentera, dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Mangsa yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa ditidurkan akhirnya menghembuskan nafas terakhir dan telah selamat dikebumikan pada Isnin. Sementara itu, suspek masih dalam tahanan reman sehingga 15 Mac untuk siasatan lanjut.
Kredit: Sinar Harian