Seorang wanita tampil memohon maaf selepas mencetuskan kontroversi berikutan pendedahannya mengenai bekas suami yang menikahi wanita lain hanya seminggu selepas mereka bercerai.

Mohon Maaf Kepada Bekas Suami Kerana Sebarkan Cerita

Berdasarkan laporan mStar, wanita yang dikenali sebagai Nurul Syazwani menyedari kesilapannya dan menegaskan bahawa tindakannya tidak berniat untuk membuka aib atau menyindir sesiapa.

Menurutnya, tujuan perkongsian tersebut adalah untuk menjawab persoalan mengenai status perkahwinannya yang sering diajukan oleh pihak luar, bagi mengelakkan sebarang spekulasi atau fitnah yang mungkin timbul.

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada bekas suami, isteri barunya, dan seluruh keluarga mereka berikutan hantaran yang tular di Facebook. Semua yang berlaku adalah disebabkan kekhilafan saya,” jelas Nurul Syazwani.

Dia turut menjelaskan bahawa gambar perkahwinan bekas suaminya yang dimuat naik itu hanyalah sebagai respons kepada pelbagai mesej yang diterima mengenai perkahwinan mereka, bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak.

“Ramai yang bertanya dan menandai saya di media sosial, jadi saya hanya ingin menjawab persoalan tersebut. Hantaran itu tidak berniat untuk menyindir sesiapa, hanya bertujuan mengelakkan salah faham,” tambahnya.

Selain itu, Nurul juga mendedahkan bahawa dia sudah mengetahui mengenai perkahwinan baru bekas suaminya sejak Julai lalu dan menghormati keputusan tersebut.

Dia berharap masyarakat berhenti menunding jari kepada bekas suaminya dan isteri barunya kerana mereka telah bersetuju untuk berpisah dengan baik.

“Saya ingin meminta semua pihak supaya menghentikan kecaman terhadap bekas suami dan isteri barunya. Tiada pergaduhan berlaku di antara kami, malah sepanjang perkahwinan, bekas suami melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, bukan sahaja terhadap saya tetapi juga anak kami,” katanya lagi.

Sebelum ini, media sosial kecoh dengan kisah seorang jururawat yang memuat naik hantaran berbaur ucapan tahniah kepada bekas suaminya atas perkahwinan baru, setelah lima tahun menjaga suaminya yang sakit.

Hantaran tersebut menarik perhatian ramai sehingga menyebabkan netizen ‘menyerang’ akaun media sosial bekas suaminya, mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan pengguna internet.

Kredit: Mstar

[fbcomments]