Seorang wanita yang pernah tular kerana keluar pada jam 3 pagi untuk membeli roti buat anak autisme kini sedang bertarung nyawa selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Kampung Selamat, Sungai Buloh, baru-baru ini.
Wanita Bakal Jalani Pembedahan Otak & Kaki, Keluarga Rayu Saksi Tampil Bantu Siasatan
Menurut adik mangsa, Sharifah Maizatul Syed Mansor, kejadian itu berlaku sekitar jam 2 pagi dan turut melibatkan suami serta anak mangsa yang berusia lima tahun. Kakaknya kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pembedahan, manakala suaminya masih tidak sedarkan diri.
“Kami memohon bantuan saksi yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak polis. Kami sangat berharap keadilan dapat ditegakkan. Alhamdulillah, anak mereka hanya mengalami kecederaan ringan, tetapi kakak dan abang ipar masih dalam keadaan kritikal,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sharifah juga memaklumkan bahawa kakaknya kini perlu menjalani dua pembedahan kritikal, melibatkan bahagian otak dan kaki, manakala abang iparnya berdepan komplikasi serius dengan tahap kesedaran yang sangat rendah.
“Keadaan kakak sedikit merisaukan kerana terdapat darah bertakung di bahagian otak, dan doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan segera. Kami hanya mampu berdoa agar segalanya dipermudahkan,” tambahnya lagi.
Kisah keluarga ini mendapat perhatian ramai selepas video seorang ibu menolak anaknya untuk membeli roti pada waktu awal pagi tular di media sosial. Video tersebut menunjukkan pengorbanan seorang ibu untuk memenuhi kehendak anak autisme, yang secara tidak langsung mengundang rasa simpati netizen.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung perkembangan siasatan kes langgar lari ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera tampil membantu siasatan bagi memastikan pesalah bertanggungjawab diadili.
Keluarga mangsa juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan kakak dan abang ipar mereka serta berharap agar masyarakat terus memberikan sokongan moral di saat sukar ini.
Kredit: Facebook Sharifah Zarienq Syed Mansor