Baru-baru ini, tular sebuah video yang menunjukkan seorang wanita warga emas terjatuh ke dalam laut ketika melangkah keluar dari Terminal Feri Mersing untuk memasuki feri.
Menurut laporan dari mStar, kejadian itu berlaku ketika wanita tersebut sedang menaiki feri yang dalam perjalanan ke Pulau Tioman.
Video di bawah:
https://www.facebook.com/share/v/kUv9BPSu3Cxjc6x2/?mibextid=WC7FNe
Warga Emas Jatuh Ketika Hendak Melangkah Masuk Ke Feri
Dalam video tersebut, jelas kedengaran suara seorang lelaki yang menyatakan rasa kecewanya terhadap sistem keselamatan di terminal itu, menyifatkannya sebagai tidak memadai.
“Sakit hati betul, tak ada keselamatan langsung. Letaklah pelantar kayu, benda bang*ng,” keluh lelaki tersebut dengan nada marah.
Ketika insiden berlaku, wanita berkenaan berjaya diselamatkan oleh dua orang lelaki, sementara petugas syarikat feri dan orang awam hanya mampu melihat.
Menurut saksi di lokasi kejadian, wanita itu terjatuh ke dalam laut selepas feri yang hendak dinaikinya tiba-tiba bergerak ketika dia sedang melangkah masuk.
Mangsa yang terkapai-kapai di dalam air selama kira-kira 10 hingga 15 minit itu akhirnya berjaya diselamatkan oleh orang awam. Dia turut menyatakan rasa trauma akibat kejadian tersebut dan kelihatan kesejukan setelah dibawa naik semula ke jeti.
Mengalami Kecederaan Di Kaki
Selain itu, wanita warga emas tersebut juga mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat tertusuk benda tajam ketika terjatuh. Dia telah dibawa ke sebuah klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan.
Insiden ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan netizen, terutamanya berkaitan dengan isu keselamatan di terminal feri yang dianggap tidak mencukupi.
Ramai yang berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan di terminal tersebut bagi mengelakkan kejadian serupa berulang di masa hadapan.
Kredit: Mstar. Facebook Wa Fans