fbpx

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam berhampiran Masjid India diteruskan selepas lebih 24 jam sejak kejadian, dengan mangsa dipercayai telah dihanyutkan arus deras paip kumbahan bawah tanah.

Sudah Lebih 24 Jam Masih Tidak Ditemui

Mangsa, Vijayakumar, 48 tahun, berasal dari Andhra Pradesh dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut, dan operasi yang dihentikan sementara pada jam 1 pagi tadi akibat hujan lebat akan disambung semula dalam masa terdekat.

Menurut tinjauan di lokasi sekitar jam 10 pagi tadi, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah kembali ke lokasi kejadian untuk merancang pergerakan seterusnya.

Kawasan sekitar insiden kini dikawal ketat oleh petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memasang pita keselamatan di sekeliling perimeter bagi menghalang kemasukan orang awam.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai langkah seterusnya yang akan diambil, dilaporkan bahawa dua jengkaut yang digunakan untuk memperluas lubang benam sejak semalam kini tidak lagi berada di lokasi.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa usaha pencarian telah difokuskan pada saluran paip kumbahan bawah tanah di kawasan kejadian, dengan JBPM turut melibatkan Unit Skuba selepas usaha sebelumnya menggunakan khidmat anjing pengesan menemui jalan buntu.

Selain itu, Indah Water Konsortium (IWK) juga turut terlibat secara aktif dalam operasi ini, dengan membuka setiap lurang pembentungan hingga ke loji rawatan di Pantai Dalam bagi membantu pencarian mangsa yang masih hilang.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]