Seorang lelaki warga Bangladesh yang pada mulanya dijatuhi hukuman gantung atas kesalahan membunuh rakan serumahnya kini dilaporkan terselamat daripada hukuman tali gantung selepas dakwaan membunuh rakan serumah pada 2018 dipinda kepada membunuh tanpa niat.

Ketuk Rakan Guna Periuk Nasi Hingga Mati

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Bernama, Mohammad Jobi Ullah, 44, dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan selepas tertuduh mengaku bersalah membunuh tanpa niat ke atas rakan serumahnya yang dikenali sebagai Minto.

Panel tersebut terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Mary Lim Thiam Suan, dan Datuk Abu Bakar Jais memerintahkan Mohammad Jobi untuk menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, iaitu pada 28 Mac 2018.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Abang Iskandar mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas tertuduh kerana membunuh dan menggantikannya dengan hukuman penjara selama 13 tahun.

Fakta Kes

Berdasarkan fakta kes, kejadian tersebut tercetus selepas berlakunya pertengkaran mulut dan fizikal antara Mohammad Jobi dan si mati (Minto) di dapur kediaman mereka kerana periuk milik si mati menghalang kabinet dapur. Tertuduh yang bekerja sebagai buruh difahamkan telah mengetuk kepala mangsa dengan menggunakan periuk nasi dan periuk kari serta menumbuk mangsa. Mangsa tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke hospital. Mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala dan meninggal dunia pada 28 Mac 2018.

Terrdahulu, peguam yang dilantik mahkamah K. Simon Murali memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi anak guamnya agar pertuduhan membunuh dipinda kepada pertuduhan membunuh tanpa niat dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.

Pada 29 Jun 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohammad Jobi selepas dia didapati bersalah membunuh Minto, yang juga rakan senegaranya di sebuah rumah di Jalan Megat Harun, Taman Jasa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 11.15 pagi, 25 Sept 2018.

Dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara yang lebih rendah, Murali berkata anak guamnya telah menyesal dan dia turut telah mengunjungi si mati di hospital untuk memohon maaf.

Beliau memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara lapan tahun dengan menyatakan bahawa perbuatan anak guamnya itu tidak dirancang tetapi ia berlaku dalam keadaan tegang ketika itu. Bagaimanapun, Mohd Fairuz berkata hukuman penjara yang sepatutnya adalah antara 15 hingga 20 tahun.

Kredit: BERNAMA

[fbcomments]