Seorang lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang hampir seminggu lalu ditemui meninggal dunia di sebuah kebun sawit di Yong Peng, dipercayai akibat kelaparan.
Meninggal Dunia Akibat Kelaparan
Mangsa yang bernama Kasnon Sabari, 76, ditemui oleh seorang individu pada jam 11 pagi semalam dalam keadaan terbaring di kawasan kebun sawit, kira-kira 60 kilometer dari kediamannya di Sungai Kluang Darat, Rengit.
Menurut adik saudaranya iaitu Sumardi Marmin, 62, keluarga dimaklumkan mengenai penemuan tersebut oleh pihak polis pada jam 12 tengah hari dan diminta hadir ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses pengecaman.
Difahamkan, arwah dipercayai meninggal dunia akibat kelaparan selepas motosikalnya kehabisan minyak, menyebabkannya tidak dapat pulang.
Sumardi turut menyatakan pada hari kehilangan, mereka sempat minum bersama, namun beliau hairan apabila arwah menunggang motosikal ke kawasan sejauh itu kerana lazimnya arwah tidak pernah pergi jauh.
Motosikal milik arwah turut ditemui bersama dokumen peribadi dan sejumlah wang tunai.
Arwah mula disedari hilang ketika tidak hadir menunaikan solat Jumaat seperti kebiasaannya. Selepas usaha pencarian dilakukan, mayatnya akhirnya ditemui, dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua hari sebelum dijumpai.
Menurut Sumardi, walaupun arwah seorang OKU, beliau berdikari, tidak pernah bergantung kepada orang lain, dan amat disayangi oleh keluarga serta saudara-maranya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada unsur jenayah berkait dengan kematian arwah.
Kredit: Harian Metro