Pada beberapa tahun yang lalu, satu kes pembunuhan terhadap seorang ketua jururawat Hospital Serdang yang dikenali sebagai Siti Kharina Mohd Kamarudin telah tular satu Malaysia. Mangsa yang disyaki dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki warganegara Nigeria, dikenal pasti sebagai Alowonle Olumajuwon Gilbert kini bebas dari hukuman mati.
Terlepas Hukuman Ke Tali Gantung
Hari ini, media melaporkan bahawa tertuduh disahkan terlepas ke tali gantung setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kepda hukuman penjara selama 35 tahun. Menurut laporan BH Online, panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri dariapda Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah turut memerintahkan tertuduh dikenakan 12 sebatan.
Keputusan itu dibuat susulan pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu pemansuhan hukuman mati mandatori. “Kami mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 35 tahun dari tarikh tangkap dan dia juga akan dikenakan 12 sebatan”, jelas pihak berkuasa.
Menurut Vazeer, tiada keperluan bagi pihak mahkamah untuk mempertimbangkan sama ada pembelaan berkanun lain digunakan untuk tertuduh kerana hakim perbicaraan telah menolak pembelaan alibinya. Tertuduh yang berusia 40 tahun itu diperintahkan untuk memulakan hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 16 Mei 2019.
Suspek Dan Mangsa Adalah Pasangan Kekasih
Terdahulu, peguam yang mewakili Alowonle iaitu Afifuddin Ahmad Hafifi memaklumkan bahawa tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih. Difahamkan dalam prosiding yang dilakukan pada Selasa, ia memaklumkan tiada bukti mengatakan pembunuhan itu telah dirancang memandangkan darah Alowonle ditemui pada pakaian mangsa dan juga di tempat kejadian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pergaduhan tersebut boleh terjadi secara tiba-tiba sehingga berlakunya pergelutan antara suspek dan mangsa.
Sekadar info, terdahulu misteri kehilangan Siti Kharina akhirnya terbongkar apabila mayatnya ditemui di sebuah kondominium yang terletak di Cyberjaya pada 15 Mei 2019. Penemuan mayat mangsa terbongkar apabila orang awam melihat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit. Sehinggalah pada 4 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi di Shah Alam mendapati Gilbert bersalah kerana membunuh Siti Kharina dan telah dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Kredit: BH Online