fbpx

Mahkamah Sesyen pada Isnin telah mengarahkan penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memerintahkan berbuat demikian selepas membenarkan permohonan daripada pasukan pembelaan.

Semasa prosiding, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili penyanyi itu berkata pihaknya membuat permohonan itu mengkikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah

Menurutnya, terdapat asas yang kukuh untuk kesihatan mental pelantun lagu Mimpi Laila itu diperiksa oleh pakar psikiatrik.

“Pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atau tidak.

Pembelaan telah mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap ‘Bipolar Disorder Type I’ sejak 2007,” katanya ketika sebutan kes pada Isnin.

Yasin juga dilaporkan pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya.

Menerusi laporan yang dikeluarkan Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), beliau berkata pihak itu mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Yasin turut diwakili peguam, Nur’ain Shahiera Khalid. Turut kelihatan di mahkamah ahli keluarga terdekat Yasin termasuk anak perempuan dan adik beradik beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini memberitahu mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan pembelaan itu dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Jun ini untuk mengemukakan laporan psikiatrik.

[fbcomments]