Terbaharu, perubahan wajah aktres Zara Zya, menjadi buah mulut netizen. Segala persoalan terungkai apabila pelakon jelita itu sendiri membuka mulut tentang perkara itu sewaktu ditemubual Melodi.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengaku mengambil suntikan pada wajah dan bibir. Zara berkata, perubahan hormon dan faktor usia menyebabkan dia mengambil suntikan tersebut.
Malah, dia juga tidak menolak dakwaan ada beberapa klinik estetik yang tampil menaja untuk melakukan suntikan dan menambahbaik wajah.
Katanya lagi, ia bukanlah proses rumit kerana suntikan tersebut lebih kepada vitamin sahaja.
“Sejujurnya, memang ada beberapa klinik menaja saya membuat rawatan wajah. Lagipun, usia semakin meningkat, jadi timbul kedutan dan saya buat sedikit suntikan.
“Tetapi, ia lebih kepada suntikan vitamin untuk menjadikan kulit tampil tanpa cela.
Bila ada peluang apa salahnya..
“Jika dulu susah nak jumpa klinik estetik yang sesuai, jadi bila ada peluang, apa salahnya? Tetapi, ia lebih kepada vitamin.
“Sama seperti bibir, kadang-kadang bibir jadi gelap, jadi suntikan ini memberikan kesan tegang. Apabila tegang, ia menjadi lebih gebu dan berwarna kemerah-merahan,” katanya menerusi temu bual bersama program hiburan popular, Melodi.
Tidak kisah pendapat netizen
Zara juga berkata dia tidak kisah akan komen negatif netizen terhadap rupa parasnya kerana baginya setiap selebriti pasti melakukan suntikan pada wajah sebagai rutin untuk tampil cantik.
“Saya tidak kisah dan terpulanglah. Lagipun saya rasa ramai sahaja yang buat, namun terpulang pendapat masing-masing.
“Mungkin ada orang tak ditawarkan peluang seperti ini, tetapi bila ada peluang, mungkin dia juga nak mencuba.
“Dalam media sosial, orang boleh cakap apa sahaja. Nak buat atau tidak, terpulang. Saya adalah seorang selebriti, sudah pasti saya kena jaga penampilan secara keseluruhan.
“Apa yang boleh saya katakan, ia rutin bagi selebriti. Lagipun, apa sahaja yang saya buat tetap ada kecaman dan tilikan. Kadang-kadang dalam video yang dimuat naik saya rasa tiada apa-apa, tetapi mata netizen tajam,” ujarnya.
“Saya tak kisah orang nak kecam, saya tetap dengan diri saya dan akan jaga diri saya sebaik mungkin. Terima kasih kerana ambil tahu,” jelasnya.
Sekadar info, Zara dan peneraju industri kosmetik organik, Datuk Alha Alfa hadir bersama pada anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Sumber: Berita Harian