Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan itu terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 342.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Selasa.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 petang itu, bas berkenaan membawa seramai 25 penumpang termasuk pemandu.
![]()
Bas Ekspres Terbalik di Tapah: 25 Penumpang Selamat, Tiga Cedera Ringan
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada pemandu yang dipercayai mengalami microsleep, menyebabkan bas hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terhumban ke dalam longkang.
“Semua penumpang berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian. Tiga daripada mereka mengalami kecederaan ringan, manakala 22 lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan di zon hijau. Penumpang lain pula telah dibawa meneruskan perjalanan menggunakan bas gantian yang disediakan oleh syarikat pengendali.
![]()
Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan namun ujian saringan air kencing akan dijalankan ke atas pemandu bas berusia 31 tahun itu sebagai sebahagian daripada proses siasatan lanjut.
“Semakan mendapati pemandu memiliki lesen kelas E yang masih sah serta kenderaan turut mempunyai perlindungan insurans aktif sehingga Mac tahun depan,” ujarnya.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut memuat naik laporan kemalangan di media sosial rasmi mereka, sambil mengingatkan pengguna lebuh raya agar memastikan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.
Kredit: Sinar Harian