Selepas empat tahun bergelut dengan kegagalan buah pinggang, Dr Zulkifli Ayub kini boleh menarik nafas lega apabila pembedahan pemindahan buah pinggang yang dijalani bersama bapanya pada 19 November 2024 berjaya.
Pembedahan yang berlangsung selama lapan jam itu menyaksikan buah pinggang sebelah kiri ayahnya dipindahkan ke tubuh Dr Zulkifli, menggantikan buah pinggang yang telah rosak.
![]()
Pembedahan Berjalan Lancar, Diri Tidak Perlu Jalani Rawatan Dialisis Lagi
Menerusi satu hantaran di laman TikTok, Dr Zulkifli meluahkan rasa syukur kerana pembedahan itu menandakan berakhirnya keperluan untuk menjalani rawatan dialisis.
“Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan lancar pada 19/11/24. Hari ini day 2 post operation, buah pinggang sebelah kiri ayah saya diambil dan dimasukkan ke kepada saya.
“Saya berada dalam dewan bedah selama 8 jam. Dari 7 pagi hingga 3 petang, saya sedarkan diri pada pukul 6 petang.
“Selepas 4 tahun berjuang berdialysis. Akhirnya saya tidak perlu lagi dialysis. This is new beginning of life without dialysis,” katanya.
Selain itu, Dr Zulkifli turut berkongsi bahawa dia kini boleh menghasilkan air kencing sebanyak hampir 3 liter setiap hari, sesuatu yang tidak dapat dilakukan selama ini.
![]()
“Selepas 4 tahun saya tidak menghasilkan urine, akhirnya saya menghasilkan urine dengan banyak. Hampir 3L sehari,” ujarnya.
Walaupun masih merasai sedikit kesakitan selepas pembedahan dan bergantung kepada PCA fentanyl untuk melegakan kesakitan, Dr Zulkifli tetap bersemangat dan berharap untuk pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakannya dan menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai penderma organ.
“Terima kasih atas doa semua, izinkan saya menangis kegembiraan walaupun dalam kesakitan. Daftarlah sebagai penderma organ. Jika ada anak, suami, isteri, adik beradik yang sakit seperti saya dermalah untuk mereka for better quality of life,” ujarnya.
Terdahulu, tular kisah pengorbanan seorang bapa yang sanggup berhenti merokok demi mendermakan buah pinggang kepada anaknya yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap lima (akhir).
Kredit: TikTok Zulkifli_Ayub