Pelakon versatil, Zila Bakarin, mendedahkan pengalaman luar biasa yang mendorongnya untuk berhijrah dan mengenakan hijab pada Februari 2020.
Kisah tersebut dikongsi aktres berusia 49 tahun itu dalam siaran podcast Borak Selebriti bersama Dina Nadzir dan Falyq Hikyle baru-baru ini.
![]()
Video di bawah:
https://www.instagram.com/reel/DEMbqzCS5sg/?utm_source=ig_web_button_share_sheet
“Saya Rasa Seperti Berbogel dan Ketakutan”
Zila, atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, menyatakan bahawa keputusannya untuk berhijab dibuat secara mendadak selepas mengalami kejadian aneh ketika hendak menjemput anak-anaknya dari sekolah.
Kejadian tersebut, katanya, memberikan kesan mendalam sehingga menyedarkan dirinya tentang tanggungjawab menutup aurat.
“Pagi saya hantar anak pergi sekolah, saya pakai baju tidur dengan berseluar pendek seperti biasa.
“Tengah hari saya nak ambil mereka, saya buka almari selalunya akan capai seluar pendek tetapi hari itu saya capai seluar jeans panjang dan sweater tebal,” ujarnya.
![]()
Tambahnya, meskipun cuaca panas, dia merasa seperti berada dalam keadaan yang sangat sejuk. Lebih aneh, perasaan itu diiringi dengan bayangan seolah-olah tubuhnya tidak ditutupi pakaian.
“Walaupun panas tetapi saya rasa sejuk semacam dan saya terbayangkan diri seperti sedang berbogel. Muka saya terasa kembang.
“la buatkan saya jadi sangat takut sampai terfikir mungkin saya nak mati,” katanya, menggambarkan detik yang mengubah hidupnya.
![]()
Zila turut berkongsi pengalaman mendengar ‘bisikan’ yang menyuruhnya memakai selendang untuk menutup kepalanya. Bisikan tersebut, menurutnya, menjadi permulaan kepada penghijrahannya.
“Saya nampak ada sehelai selendang di dalam bilik. Tiba-tiba, saya rasa seperti ada suara yang menyuruh saya memakainya. Bila saya letak saja selendang itu di kepala, saya terus rasa sejuk dan tenang,” katanya lagi.
Momen tersebut membuatkan Zila merenung kembali kehidupannya, menyedari bahawa perasaan ‘bogel’ yang dialaminya mungkin adalah petanda daripada Allah untuk menyedarkannya tentang pentingnya menutup aurat.
Keputusan untuk terus berhijab selepas kejadian itu mendapat sokongan penuh daripada suami, Azri Izhar, dan anak-anak mereka. Zila turut menyatakan bahawa niatnya untuk berubah bukan sahaja demi dirinya, tetapi juga kerana tidak mahu suaminya dipersoalkan mengenai auratnya kelak.
Kredit: Instagram sinar_my