Seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di bawah Jambatan Muhibbah, Klang, berhampiran Pulau Indah pada pagi Ahad.
![]()
Staf MAS Hilang Ketika Memancing, Lokasi Terakhir Dikesan di Bawah Jambatan Klang
Mangsa, Mior Mohamad Ikhmal Mohd Anua, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di bahagian Amal, Malaysia Airlines (MAS), dikatakan keluar dari rumah sekitar jam 7.50 pagi untuk memancing di lokasi berkenaan.
Kali terakhir dia mengemas kini media sosial adalah ketika berada di bawah jambatan tersebut sebelum dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus deras sekitar jam 11.30 pagi.
![]()
Menurut saksi di lokasi kejadian, beberapa individu melihat mangsa terjatuh, namun tidak sempat memberikan bantuan kerana keadaan arus yang kuat.
Rakan mangsa, Helmy Ikram, memaklumkan bahawa Mior Mohamad Ikhmal merupakan anak tunggal dalam keluarganya dan merayu orang ramai agar mendoakan keselamatan sahabatnya itu.
![]()
“Kami amat berharap dia dapat ditemui secepat mungkin. Saya mohon orang ramai sama-sama mendoakan agar urusan pencarian dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.
Operasi mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan bantuan sukarelawan tempatan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta untuk segera menghubungi pihak berkuasa terdekat bagi membantu siasatan.
Kredit: X mynewshub