Insiden kemalangan yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 baru-baru ini bukan sahaja mengundang kesedihan mendalam dalam kalangan keluarga mangsa, malah turut meninggalkan kesan emosi yang besar kepada pemandu trak terbabit.

Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin yang memandu trak membawa 18 anggota FRU dalam nahas berkenaan kini masih menjalani rawatan di Hospital Teluk Intan akibat kecederaan di kepala dan tulang rusuk.

Pemandu Trak FRU Masih Trauma, Rasa Bersalah Selepas Kehilangan 9 Rakan Setugas

Menurut isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam, suaminya kini berdepan tekanan emosi apabila mengetahui jumlah rakan setugas yang terkorban dalam insiden tersebut.

“Dia baru tahu semalam (kelmarin) bahawa sembilan rakannya meninggal dunia. Dia rasa bertanggungjawab kerana dia yang memandu. Dia kata dia rasa bersalah. Saya pujuk dia supaya tidak salahkan diri. Dia juga minta maaf kepada rakan-rakannya,” katanya.

Ujarnya, suaminya tidak henti-henti memohon maaf kepada rakan-rakan yang terselamat dan menyifatkan dirinya bertanggungjawab atas apa yang berlaku, meskipun tiada sebarang tuduhan dilemparkan terhadapnya.

“Semalam (kelmarin), dia buat panggilan video kepada Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) dan minta maaf secara bersemuka,” ujarnya.

Jelas Nor Ain, walaupun berdepan dengan situasi yang amat mencabar, suaminya menerima sokongan moral yang tidak putus daripada anggota FRU yang lain.

“Tiada seorang pun yang salahkan dia. Ramai rakan hubungi dan beri sokongan moral. Mereka faham situasi sebenar dan minta dia jangan tanggung rasa bersalah itu seorang diri,” katanya lagi.

Tambahnya, meskipun telah sedar sepenuhnya, Mohd Harrisul masih tidak mampu mengingati apa-apa yang berlaku sewaktu kemalangan.

Terdahulu, kemalangan melibatkan trak FRU dan sebuah lori membawa muatan batu berlaku di Jalan Segamat-Kuantan pada awal Mei lalu mengorbankan sembilan anggota keselamatan manakala beberapa lagi cedera.

Kredit: Berita Harian

 

 

 

[fbcomments]