Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi Selasa memutuskan bahawa pempengaruh, Ahmad Aslam dan Marissa Dania kini tidak lagi bergelar suami isteri selepas prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan sebelum ini.

Lafaz Cerai Sah, Perkahwinan Aslam & Marissa Terlerai

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Nadiah Khamis selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dalam kes berkenaan. Mahkamah mendapati lafaz talak yang dibuat sebelum ini adalah sah, sekali gus menyebabkan perkahwinan pasangan tersebut terlerai secara rasmi.

Peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser, memaklumkan bahawa mahkamah telah memutuskan talak telah jatuh dan kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai status sebagai suami isteri. Menurutnya, jika mereka ingin kembali bersama, proses akad nikah baharu perlu dilakukan.

Dalam prosiding tersebut, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah secara berasingan. Aslam atau nama penuhnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, ketika ditemui media mengesahkan bahawa dia dan Marissa, 21, kini tidak lagi tinggal sebumbung.

Sementara itu, Marissa memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut berhubung keputusan mahkamah dan hanya memaklumkan bahawa dirinya berada dalam keadaan baik.

Untuk rekod, Aslam sebelum ini telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu. Pasangan ini sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, selain perkahwinan tersebut berlaku ketika Aslam masih bergelar suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.

Kredit: mStar

[fbcomments]