Pelakon Amar Baharin meluahkan rasa syukur apabila berjaya menunaikan tanggungjawabnya mengagihkan wang infaq yang diterima daripada orang ramai sepanjang misi kayuhan menuju ke Tanah Suci baru-baru ini.
![]()
Amar Baharin Lunaskan Amanah, Agih Infaq Sepanjang Misi Kayuhan ke Madinah
Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Amar memaklumkan bahawa semua sumbangan wang yang diterima, sama ada sebelum, semasa atau selepas perjalanan, telah disalurkan kepada sebuah restoran tempatan di Madinah untuk menyediakan makanan kepada para jemaah di Masjid Nabawi.
“Alhamdulillah, semua duit infaq telah saya salurkan melalui Restoran @paktam.madinah untuk diagihkan dalam bentuk makanan kepada jemaah di Masjid Nabawi,” tulisnya.
![]()
Amar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan mendoakan agar segala kebaikan itu menjadi ganjaran pahala buat mereka di sisi Allah.
“Semoga kebaikan ini menjadi ladang pahala untuk semua yang menyumbang ke jalan Allah,” ujarnya.
Untuk rekod, Amar dan rakannya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, memulakan kayuhan berbasikal mereka dari Perlis menuju ke Tanah Suci pada 27 April lalu menerusi misi yang dinamakan Journey to Tanah Haram.
![]()
Misi tersebut berjaya disempurnakan dengan ketibaan mereka di Masjid Nabawi, Madinah sekitar jam 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu Malaysia) pada Khamis minggu lalu.
Kedua-dua mereka dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat ini.
Kredit: Instagram amarbaharin