Usaha seorang lelaki menghubungi semula rakan-rakan lamanya sejak beberapa bulan lalu, termasuk sanggup menempuh perjalanan jauh dan meredah hujan lebat untuk bertemu mereka menjadi antara kenangan terakhir yang sukar dilupakan sahabatnya selepas dia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Shah Alam, Khamis lalu.

Allahyarham Ahmad Sobri Ishak, 32, yang telah bersahabat selama 20 tahun dengan seorang lelaki dikenali sebagai Najib Fazail, sebelum ini dikatakan mula menghubungi semula rakan-rakan lama selepas sekian lama sibuk bekerja di Pulau Pinang.

Empat Bulan Hubungi Semula Rakan Lama, Lelaki Tidak Sangka Sahabat Pergi Buat Selamanya

Menerusi perkongsian di Threads, Najib berkata, sejak empat hingga lima bulan lalu, Allahyarham mula mencari semula rakan-rakan mereka yang menetap di Kedah dan Lembah Klang. Menurutnya, Allahyarham sanggup menunggang motosikal dari Pulau Pinang ke Kedah untuk bertemu rakan-rakan di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menemui sahabat yang lain.

Najib turut mengimbas satu pertemuan apabila Allahyarham sanggup meredah hujan lebat untuk bertemu mereka di sebuah kedai makan sehingga tiba dalam keadaan basah kuyup.

Katanya, pertemuan itu kini menjadi kenangan yang cukup bermakna memandangkan mereka sudah mengenali antara satu sama lain selama dua dekad dan pernah melakukan pelbagai aktiviti bersama, termasuk bercuti ke Langkawi, bermain futsal serta menghadiri majlis berbuka puasa.

Selain itu, Najib turut berkongsi mesej terakhir Allahyarham dalam kumpulan perbualan mereka yang memaparkan tulisan ‘2014’ bersama gambar ketika rakan-rakannya menghantarnya ke Perancis untuk menyambung pengajian.

Dalam perkongsian sama, Najib memaklumkan Allahyarham terbabit dalam kemalangan pada Khamis lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, Allahyarham yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) disahkan mengalami kematian otak.

Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan organ Allahyarham, pihak Hospital Shah Alam turut menyalakan lampu hijau sebagai penghormatan terakhir atas keputusannya membantu pesakit lain melalui pendermaan organ. Najib turut menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Allahyarham menderma organ dan berharap sumbangan tersebut menjadi amalan berterusan yang memberikan manfaat kepada penerima.

Sementara itu, kakak Allahyarham, Husnaa Ishak turut berkongsi detik ketika mengetahui adiknya merupakan mangsa kemalangan yang menjadi perhatian di media sosial. Menurut Husnaa, dia pada mulanya terbaca beberapa hantaran di Threads mengenai kemalangan berkenaan sebelum gambar kad pengenalan mangsa dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp penduduk kawasan kediamannya.

Dia kemudian menyedari mangsa yang dimaksudkan ialah adiknya sendiri sebelum seseorang datang ke rumah untuk mencari waris. Husnaa berkata, berita itu menyebabkan dirinya lemah lutut dan menggigil sebelum dia bersama suami bergegas ke Hospital Shah Alam.

Menerusi perkongsian terdahulu, Husnaa memaklumkan doktor memberitahu bahawa Allahyarham mengalami pendarahan otak yang banyak selain keretakan pada bahagian tempurung kepala.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak berusia empat tahun.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]