Baru-baru ini tular kisah seorang pelajar lelaki yang menunjukkan ketabahan luar biasa apabila menunggang motosikal sendirian dari Sepang ke Perlis untuk mendaftar pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
![]()
PelajarTunggang Motosikal 8 Jam Dari Sepang Ke Perlis Demi Daftar Masuk UniMAP
Pelajar berkenaan, Muhammad Zahirul Hakim bin Zali, nekad menempuh perjalanan sejauh lebih 450 kilometer yang mengambil masa kira-kira lapan jam. Dengan hanya ditemani motosikalnya, anak muda itu membawa bersama barang-barang keperluan untuk memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa di UniMAP.
Kisahnya meraih perhatian ramai selepas pihak universiti berkongsi pengalaman Zahirul di laman Facebook rasmi mereka. Langkah berani itu bukan sahaja mencerminkan semangat tinggi seorang pelajar, malah menggambarkan kecekalan anak muda yang sanggup berkorban demi masa depan.
![]()
Menurut Zahirul, sebelum ini beliau pernah mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan bas atau kereta api sebagai pilihan perjalanan. Namun, kos tambang yang mencecah sekitar RM100 sehala dirasakan terlalu membebankan, lebih-lebih lagi dengan keadaan keluarga yang perlu menanggung perbelanjaan adik-beradiknya.
Sebaliknya, menunggang motosikal memberi lebih penjimatan kerana hanya memerlukan sekitar RM30 bagi satu perjalanan. Walaupun pilihan itu lebih memenatkan, beliau tetap memilihnya agar tidak menambah beban kepada ibu bapanya.
![]()
Bapanya turut memberikan kebenaran untuk menunggang motosikal ke universiti, dan sokongan itu menguatkan lagi tekad Zahirul. Perjalanan panjang itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau selamat tiba di kampus untuk mendaftar sebagai pelajar baharu dalam bidang Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi).
Kredit: Facebook Universiti Malaysia Perlis