Seorang wanita berusia 27 tahun yang juga isteri dan ibu kepada dua anak ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki warga China dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Merawan, Kulim, tengah malam tadi.
Wanita yang mempunyai anak lelaki berusia enam dan lapan tahun itu difahamkan mengenali lelaki berusia 39 tahun berkenaan sejak kira-kira lima bulan lalu selepas kedua-duanya bekerja di sebuah kilang yang sama di daerah tersebut.
![]()
Wanita Berstatus Isteri Orang Ditahan Berkhalwat Dengan Lelaki Warga China Di Kulim
Menurut sumber, wanita terbabit dipercayai kerap memberitahu suaminya yang berusia 30-an bahawa dia perlu bekerja lebih masa sebelum pergi ke rumah sewa lelaki berkenaan. Dia dikatakan memberi alasan bahawa kunjungan itu berkaitan tugasan menggunakan komputer. Suaminya difahamkan sudah lama mengesyaki perbuatan tersebut, namun tidak mempunyai bukti sehingga serbuan dilakukan. Ketika kejadian, suami wanita berkenaan turut hadir di lokasi bersama ibu bapa mentuanya.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 12.40 tengah malam susulan maklumat dan aduan awam yang diterima pihaknya. Ketika pemeriksaan dijalankan, wanita berkenaan dan lelaki warga China itu ditemukan berada di sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat tersebut. Wanita terbabit memakai baju kelawar, manakala lelaki berkenaan memakai baju lengan pendek dan berseluar pendek berwarna hitam.
![]()
Anwar Sharifudin berkata, komunikasi antara kedua-dua individu itu juga dilakukan menggunakan aplikasi terjemahan dalam telefon bimbit kerana lelaki warga China berkenaan tidak fasih berbahasa Inggeris, sekali gus menyukarkan pihak penguat kuasa mendapatkan maklumat lanjut ketika pemeriksaan. Hasil pemeriksaan turut mendapati dua lagi lelaki warga China yang merupakan rakan lelaki terbabit berada di tingkat atas rumah berkenaan.
Susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat manakala Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) mengeluarkan notis perintah kepada wanita berkenaan supaya hadir ke pejabat agama pada Ahad ini bagi membantu siasatan dan memberikan keterangan. Lelaki warga China terbabit juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan, namun tidak dikenakan tindakan setakat ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat.
Kredit: Harian Metro