Pelakon Kamal Adli mengakui tidak dapat menahan rasa sebak ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada pagi Selasa susulan kemelut rumah tangganya bersama aktres terkenal, Uqasha Senrose.

Kamal Adli Sebak Di Mahkamah, Akui Mahu Selamatkan Rumah Tangga Bersama Uqasha Senrose

Kamal, 39, atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata, kehadirannya ke mahkamah bukan bertujuan untuk menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya datang dengan niat tulus untuk menyelamatkan perkahwinan yang telah dibina sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, segala yang berlaku memberi kesan mendalam terhadap emosinya dan dia mengakui tidak tenang sepanjang prosiding berlangsung.

“Saya berada di sini kerana saya benar-benar mahu selamatkan rumah tangga saya. Saya sayangkan isteri dan anak saya. Semua yang terjadi ini, saya anggap berpunca daripada kesilapan saya sendiri,” ujarnya ketika ditemui media selepas prosiding.

Dalam masa sama, Kamal turut merayu kepada orang ramai agar tidak melemparkan sebarang komen negatif terhadap isterinya di media sosial. Beliau meminta agar segala kecaman dialihkan kepadanya kerana tidak mahu Uqasha terus menerima tekanan.

“Dia terlalu penat dan stres dengan kerja. Jadi saya mohon, kalau nak tulis sesuatu, tulislah yang baik-baik tentang dia. Jangan tambah beban pada isteri saya,” katanya.

Peguam yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohammad Salleh, turut memaklumkan bahawa peguam yang sebelum ini mewakili Uqasha telah menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan.

“Hari ini kita dikejutkan dengan situasi peguam wakili Uqasha sebelum ini tarik diri. Saya percaya sepatutnya ada peguam baharu yang hadir, tetapi tiada. Jadi hanya sebelah pihak sahaja,” katanya kepada media.

Disebabkan situasi itu, prosiding kes perceraian pasangan tersebut ditangguhkan ke 19 November depan bagi memberi ruang kepada pihak Uqasha melantik peguam baharu.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.

Kredit: mStar

 

 

 

[fbcomments]