Seorang bekas anggota polis yang mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tidak akan memfailkan saman sivil terhadap pegawai kanan berkenaan.
![]()
Tempoh Had Masa Enam Tahun Tamat, Bekas Anggota Polis Tidak Boleh Saman Mohd Shuhaily
Peguam yang mewakili bekas anggota polis itu, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan undang-undang tersebut tidak dapat diteruskan kerana kejadian yang didakwa berlaku pada 2015 sudah melepasi tempoh had masa enam tahun seperti ditetapkan di bawah Seksyen 6 Akta Had Masa 1953.
Bagaimanapun, anak guamnya masih berharap laporan polis yang dibuat pada tahun sama akan diberi perhatian dan disiasat secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara (AG).
Menurut Kamal Hisham, laporan berkenaan merupakan satu-satunya saluran yang masih boleh digunakan oleh anak guamnya untuk mendapatkan keadilan selepas peluang mengambil tindakan saman sivil tidak lagi tersedia. Beliau turut berharap AG menggunakan budi bicara dan kebijaksanaannya untuk memastikan perkara itu diteliti serta tindakan sewajarnya diambil. Kenyataan itu dibuat bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.
![]()
Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan seorang bekas anggota polis mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Mohd Shuhaily ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak pada 19 November 2015. Susulan dakwaan itu, Kamal Hisham memaklumkan tiada tindakan diambil terhadap laporan polis yang dibuat dan menggesa AG supaya menyemak semula perkara berkenaan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali sebelum ini mempersoalkan tujuan dakwaan lama itu dibangkitkan selepas lebih sedekad, selain membangkitkan kemungkinan ia dibuat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap anak guamnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas pertuduhan melakukan kekerasan terhadap dua anggota polis di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kejadian yang didakwa berlaku antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu itu turut membawa kepada tindakan saman sivil oleh dua anggota polis terbabit. Kamal Hisham memaklumkan saman berkenaan sudah diserahkan kepada peguam Mohd Shuhaily pada 11 November lalu, manakala 4 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes bagi kehadiran semua pihak.
Kredit: Sinar Harian