Baru-baru ini tular sebuah video menunjukkan seorang pelanggan wanita dipercayai berasal dari China menyimbah air kopi ke arah seorang barista wanita di sebuah cawangan ZUS Coffee, sehingga mencetuskan kemarahan dan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Tindakan kasar pelanggan itu dirakam jelas, termasuk kata-kata kesat yang dilemparkan ketika insiden berlaku.

Barista Disimbah Minuman, ZUS Coffee Pertahan Kebajikan Pekerja

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, ZUS Coffee memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh telah dimulakan bagi mengenal pasti punca dan kronologi sebenar kejadian.

Syarikat tersebut menegaskan bahawa keselamatan barista dan komuniti pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan sebarang tindakan yang mengancam kesejahteraan pekerja tidak akan diterima. Barista yang terlibat kini dilaporkan sedang berehat untuk memulihkan keadaan emosi selepas melalui situasi yang mengejutkan itu.

ZUS Coffee turut menyeru orang ramai supaya menghormati privasi semua pihak terlibat serta menghentikan penyebaran semula video tersebut. Syarikat itu juga mengingatkan masyarakat agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu ketelusan proses siasatan.

Dalam kenyataan sama, mereka menegaskan komitmen untuk terus menyediakan suasana kerja dan perkhidmatan yang selamat, profesional dan saling menghormati.

Terdahulu, kejadian dipercayai berpunca daripada kelewatan penyediaan minuman yang membuatkan pelanggan itu bertindak agresif. Menurut pengguna media sosial, loghat pertuturan wanita berkenaan mencadangkan dia berasal dari China, namun pihak ZUS Coffee belum mengesahkan butiran lanjut mengenai identiti pelanggan itu.

Kredit: Facebook ZUS Coffee

 

 

 

[fbcomments]