Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan tragis membabitkan dua buah kereta di Jalan Raya Barat, Klang, pada Ahad.
![]()
Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Positif Alkohol Dan Dadah
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dipercayai bergerak dari arah Jalan Raya Barat menuju ke Bandar Klang. Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, hasil siasatan awal mendapati suspek memandu dalam keadaan laju dan berbahaya sebelum bertindak memotong beberapa kenderaan di hadapannya.
Beliau berkata, tindakan pemandu tersebut kemudian menyebabkan keretanya memasuki laluan bertentangan, lalu merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah hadapan. Akibat impak pelanggaran itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak dan terkena sebuah lagi kenderaan, iaitu Perodua Myvi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan berkenaan.
![]()
Tambah beliau, hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati pemandu Honda City tersebut positif alkohol dan dadah. Suspek kini telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat.
![]()
Lim turut menegaskan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah kesalahan serius kerana bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, memandu secara berhemah serta mengamalkan sikap bertimbang rasa ketika berada di atas jalan demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kredit: Harian Metro