Seorang usahawan dan pempengaruh sensasi, Prince Syed, mengambil keputusan untuk menarik semula laporan polis yang pernah dibuat terhadap keluarga mentuanya bagi meredakan ketegangan yang berlaku sebelum ini.
Pemilik nama Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 34, berkata tindakan tersebut dibuat kerana tidak mahu memanjangkan lagi konflik, selain memilih jalan damai demi menjaga hubungan kekeluargaan.
![]()
Prince Syed Tarik Semula Laporan Polis Terhadap Keluarga Mentua
Menurutnya, dia tidak mahu isu berkenaan berlarutan sehingga menjejaskan hubungan pada masa hadapan, malah berpendapat sebagai individu yang lebih muda dia perlu menghormati pihak yang lebih tua tanpa mengira sama ada dirinya berada di pihak yang benar atau sebaliknya. Prince Syed turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu ujian buat mereka sekeluarga dan memilih untuk membalas segala tohmahan dengan sikap yang lebih positif.
Beliau juga menganggap keputusan menarik semula laporan tersebut sebagai satu bentuk penghargaan dan “hadiah raya” yang paling bermakna buat keluarga mentuanya, dengan harapan segala perselisihan yang berlaku sebelum ini dapat diselesaikan secara baik tanpa menimbulkan sebarang isu baharu.
Dalam pada itu, Prince Syed mendedahkan bahawa keputusan berkenaan dibuat tanpa pengetahuan isterinya, Syazwani Ishak, 28. Katanya, dia terlebih dahulu mengajak isterinya keluar dengan alasan untuk membeli keperluan Hari Raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Namun, selepas mereka bersiap, dia terus memandu ke balai polis, sekali gus mengejutkan isterinya yang tidak mengetahui tujuan sebenar perjalanan tersebut.
![]()
Menurutnya, isterinya dilihat berasa cemas dan tertanya-tanya mengenai perkara yang berlaku, sebelum akhirnya terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia hadir ke balai polis untuk menarik laporan terhadap keluarganya. Difahamkan, isterinya kemudian tidak dapat menahan perasaan dan menangis selepas mengetahui perkara tersebut.
Dalam perkembangan sama, Prince Syed dijangka hadir ke mahkamah bagi membuat akuan sumpah berhubung penarikan laporan itu, manakala prosiding melibatkan keluarga mentuanya yang dijadualkan pada 21 April depan akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.
Terdahulu, pada 14 November lalu, empat ahli keluarga mentua Prince Syed telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan berasingan. Ibu bapa mentua serta adik iparnya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadapnya di Sungai Bertek pada awal November. Pada masa sama, abang iparnya turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik isterinya, Fatin Syazwani.
Kesemua tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin, dan kes kecederaan tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda jika sabit kesalahan.
Kredit: Harian Metro