Seorang anggota tentera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa pukul di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada Isnin lalu.
Kejadian itu hanya dilaporkan kepada pihak polis pada Selasa kira-kira pukul 8.45 pagi oleh bapa mangsa yang berusia 49 tahun, menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
![]()
Anggota Tentera Kritikal Selepas Diserang Rakan Sebilik di Kem RAMD Bentong
Hasil siasatan awal mendapati, seorang anggota tentera berpangkat koperal dipercayai telah memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan pada malam 30 Mac sekitar pukul 8 malam di dalam kem berkenaan. Selain mangsa utama, enam lagi anggota tentera berusia antara 19 hingga 22 tahun turut berada di lokasi kejadian.
Mangsa yang berusia 24 tahun dikatakan pengsan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, di mana beliau masih tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan pernafasan. Sementara itu, mangsa lain dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti sebarang kecederaan.
![]()
Bertindak atas maklumat diterima, pihak polis telah menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada petang Selasa untuk membantu siasatan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah, dan suspek direman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April.
Superintendan Zaiham menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Kredit: FB Polis Bentong