Suasana yang sepatutnya menjadi detik penuh kenangan manis buat sebuah keluarga bertukar menjadi tragedi menyayat hati apabila enam daripada tujuh individu yang menaiki sebuah Proton X50 baharu maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani pada Ahad.

Kegembiraan Bertukar Duka, Enam Nyawa Terkorban Beberapa Jam Selepas Ambil Kereta Baharu

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai pemandu kenderaan, Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 27, adiknya Ahmad Fahim, 21, Nora Mhd Husin, 55, Jamaliah Sannusi, 27, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun serta seorang bayi lelaki berusia enam bulan. Seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan.

Menurut ahli keluarga, Proton X50 berkenaan baru sahaja diserahkan kepada pemiliknya dari sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang kira-kira jam 11 pagi sebelum mereka memulakan perjalanan pulang ke Merbok, Kedah. Dalam perjalanan tersebut, mereka turut mengambil kesempatan menziarahi pusara arwah bapa mereka.

Namun, perjalanan yang bermula dengan penuh rasa syukur itu berakhir dengan kehilangan besar apabila kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan tragis hanya beberapa jam selepas kereta berkenaan diterima.

Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang maut dalam kejadian itu, Ibrahim Ghazali, 39, berkata anaknya, Iskandar Arfan, sebenarnya teruja untuk merasai pengalaman menaiki kereta baharu milik bapa saudaranya.

Menurutnya, selepas mengambil kenderaan tersebut, ahli keluarganya singgah di rumah mereka dan ketika itu anak lelakinya tidak mahu melepaskan peluang untuk turut serta dalam perjalanan berkenaan.

“Anak saya memang teringin sangat nak naik kereta baharu itu. Masa mereka singgah rumah, dia sedang makan tetapi terus berhenti, basuh tangan dan naik kereta untuk ikut bersama.

“Kakaknya juga ada peluang untuk ikut, tetapi dia memilih untuk tinggal di rumah. Anak lelaki saya seorang saja yang beria-ia mahu ikut,” katanya dalam keadaan sebak.

Ibrahim berkata, sebelum tragedi berlaku, seluruh keluarga berada dalam suasana gembira apabila pemilik kereta tersebut akhirnya berjaya memiliki kenderaan pertama hasil titik peluh sendiri.

Katanya, adik iparnya yang juga anak bongsu dalam keluarga baru sahaja menamatkan pengajian dan kini bekerja di Mydin Bertam. Pembelian Proton X50 itu menjadi simbol kejayaan awalnya dalam kehidupan, sekali gus menggembirakan seluruh ahli keluarga.

“Masing-masing seronok. Mereka sempat berkongsi gambar dalam kumpulan keluarga selepas mengambil kereta itu. Anak saya pun sangat teruja sebab dapat ikut sekali.

“Kereta itu belum pun sampai sehari dimiliki, tetapi kami diuji dengan kehilangan yang begitu besar,” katanya.

Tragedi tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga apabila kegembiraan menyambut kenderaan baharu bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidup mereka. Dalam tempoh hanya beberapa jam, enam nyawa terkorban termasuk seorang kanak-kanak yang tidak sabar untuk menikmati perjalanan bersama keluarga tersayang.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]