Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki rebah ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di sebuah surau, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

@snowerrewons

Keluar bekerja mencari rezeki yang halal buat keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai. Arwah rebah ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isya, saat hati dan jasad sedang menghadap Allah SWT pada 15/6/26. Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanannya di dunia. Seorang insan yang menghabiskan harinya mencari nafkah untuk keluarga, dan mengakhiri kehidupannya dalam ibadah kepada Tuhan di surau JPJ Taman Daya JB. Semoga setiap titik peluh yang dicurahkan demi keluarga menjadi amal jariah yang berterusan, dan semoga Allah menerima segala amal kebaikannya, mengampuni segala khilafnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba yang beriman dan beroleh rahmat. Pergi dalam keadaan yang sedang mengingati Allah, satu pengakhiran yang menjadi dambaan ramai. Al-Fatihah buat arwah paksu, ABDUL MALIK BIN ZAKARIA🀍

♬ original sound – π•œπ•šπ•Ÿπ•˜π•€π•‘π•’π••π•–πŸπŸšπŸœπŸ™β„’ – π•œπ•šπ•Ÿπ•˜π•€π•‘π•’π••π•–πŸπŸšπŸœπŸ™β„’

Pengawal Keselamatan Meninggal Dunia Ketika Tahiyat Akhir Solat Isyak

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan menerusi akaun TikTok Snower Rewons itu memaparkan detik terakhir seorang pengawal keselamatan, Allahyarham Abdul Malik Zakaria, yang dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isyak di surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Bahru pada Isnin lalu.

Menurut perkongsian tersebut, Allahyarham keluar bekerja seperti kebiasaan bagi mencari rezeki halal untuk keluarga sebelum dijemput Ilahi pada malam yang sama. Dalam kejadian itu, Allahyarham dilaporkan rebah ketika menunaikan solat berjemaah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Hantaran berkenaan turut menyatakan tiada siapa menyangka malam tersebut menjadi detik terakhir perjalanan hidup Allahyarham, apatah lagi ketika beliau sedang menghadap Allah SWT dalam ibadah solat.

Video yang tular itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang menzahirkan rasa sedih dan mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham. Ramai turut menyifatkan pemergian tersebut sebagai satu pengakhiran hidup yang dicemburui kerana berlaku ketika menunaikan ibadah.

Turut meninggalkan komen ialah seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Noramalina, yang merupakan anak kepada Allahyarham serta sepupu kepada pemilik akaun berkenaan. Menurutnya, antara perkara yang paling diingati mengenai bapanya ialah kecintaan arwah terhadap rumah Allah.

Katanya, selagi diberikan kesihatan, Allahyarham akan berusaha untuk hadir ke masjid atau surau berdekatan serta membantu masyarakat setempat mengikut kemampuan. Beliau turut menyifatkan bapanya sebagai seorang yang suka menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan, selain sentiasa menghormati ibu bapa dan mengutamakan keluarga.

Ruangan komen turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada orang ramai. Ada yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai “penutup cerita yang sempurna”, manakala ada juga yang meluahkan harapan agar dikurniakan pengakhiran hidup yang baik seperti arwah.

Kredit: TikTok snowerrewons, Sinar Harian

[fbcomments]