Seorang wanita yang sebelum ini tular di media sosial kerana meminta bantuan orang ramai mengesan bekas suaminya selepas didakwa ditumbuk ketika proses penyerahan anak di Bangi memaklumkan lelaki berkenaan kini sudah berada dalam tahanan polis.
![]()
Dakwa Ditumbuk Ketika Serah Anak, Wanita Syukur Bekas Suami Sudah Ditahan
Sebelum ini, wanita tersebut berkongsi rakaman video kejadian menerusi platform Threads dan mendakwa insiden berlaku ketika dia hadir untuk menyerahkan anak mereka mengikut giliran lawatan yang telah ditetapkan mahkamah. Dalam perkongsian itu, dia mendakwa telah ditumbuk di bahagian muka oleh bekas suaminya yang didakwa menyalahkannya berhubung masalah melibatkan kenderaan miliknya.
Menurut wanita berkenaan, mereka telah bercerai sejak dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun. Dia turut mendakwa walaupun anak mereka bertemu bapa kandung setiap bulan mengikut perintah mahkamah, kanak-kanak itu dilihat semakin takut untuk berjumpa dengan lelaki tersebut.
Menjawab pertanyaan warganet, wanita itu mendakwa kejadian berlaku di luar pagar sebuah balai polis. Katanya, dia sempat meminta bekas suaminya masuk ke dalam balai polis bagi menyelesaikan perkara berkenaan, namun lelaki itu didakwa terus meninggalkan lokasi.
![]()
Wanita itu turut menjelaskan bahawa hak penjagaan serta giliran pertemuan anak telah ditetapkan oleh mahkamah dan dia hanya hadir untuk menyerahkan anak seperti yang diarahkan. Susulan kejadian tersebut, dia memaklumkan telah membuat laporan polis serta menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala pihak polis ketika itu sedang mengesan bekas suaminya.
Dalam masa sama, dia menafikan dakwaan kononnya berlaku provokasi sehingga tercetusnya insiden berkenaan. Menurutnya, tujuan kehadirannya hanyalah untuk menyerahkan anak mengikut perintah mahkamah.
Beliau turut menjelaskan bahawa isu kerosakan kenderaan yang didakwa menjadi punca kemarahan bekas suaminya sebenarnya telah diselesaikan sejak bulan lalu termasuk melalui saluran polis. Malah, menurutnya, tiada kerosakan dilaporkan pada kenderaan tersebut dan lelaki itu masih menggunakan kereta sama ketika bertemu anak mereka pada minggu sebelumnya.
![]()
Terbaharu, wanita itu memaklumkan bekas suaminya telah berjaya ditahan polis. Susulan perkembangan tersebut, dia telah menurunkan hantaran video yang dimuat naik sebelum ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha mengesan lelaki berkenaan.
Kredit: Threads amma.yum