Hospital Sungai Buloh merakamkan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Puan Hajjah Normah Sabar, seorang wanita yang disifatkan luar biasa selepas hasratnya untuk menderma organ dan tisu ditunaikan oleh ahli keluarga walaupun beliau telah disahkan mengalami kematian otak.

Misi berkenaan dilaksanakan pada 21 Jun 2026 dan dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya lima orang pesakit yang memerlukan pemindahan organ.

Allahyarhamah Juruukur Wanita Pertama Negara Dermakan Organ, Selamatkan Lima Pesakit

Menurut perkongsian Hospital Sungai Buloh (HSB) menerusi Facebook, Allahyarhamah yang dikenali sebagai juruukur wanita pertama negara telah berikrar sebagai penderma organ sejak awal dan komitmen itu akhirnya direalisasikan selepas pemergiannya. Proses pendermaan tersebut turut disifatkan sebagai simbol penghargaan terhadap jasa beliau sepanjang hayatnya yang banyak menabur bakti dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan.

HSB memaklumkan proses pemerolehan organ itu turut mencatat sejarah baharu apabila melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Pasukan pembedahan dari Universiti Malaya (UM) turut terlibat dalam operasi berkenaan bersama beberapa unit pakar termasuk Hepatobiliari, Urologi, Plastik dan Oftalmologi, selain Unit Derma Organ dan Tisu Hospital Sungai Buloh serta Pusat Sumber Transplan Nasional.

Dalam proses berkenaan, petugas kesihatan turut melakukan penghormatan terakhir melalui Walk of Honour ketika Allahyarhamah dibawa dari Unit Rawatan Rapi (ICU) sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan jasa beliau. Pihak hospital turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga Allahyarhamah atas keizinan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan misi pendermaan organ tersebut.

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) turut mengesahkan pemergian Allahyarhamah pada 20 Jun 2026 jam 5.20 petang di Hospital Sungai Buloh. Pihak JUPEM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kredit: Facebook Hospital Sungai Buloh Selangor

[fbcomments]