Seorang juruterbang berusia 39 tahun yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas ditemukan membawa kira-kira 25 kilogram dadah dipercayai telah menjalankan kegiatan membawa bahan terlarang itu ke beberapa negara sejak 2024.
![]()
Juruterbang Ditahan Dengan 25kg Dadah Di Indonesia Dipercayai Sudah Beberapa Kali Jadi ‘Keldai’ Sejak 2024
Perkara itu terbongkar hasil sesi soal siasat yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terhadap suspek di Jakarta. Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek dipercayai menggunakan jadual penerbangannya untuk membawa dadah dari Malaysia ke beberapa destinasi.
Menurut beliau, pengakuan suspek menunjukkan kegiatan itu bukan dilakukan sekali, sebaliknya dia dipercayai sudah beberapa kali membawa dadah ke luar negara sejak mula terbabit pada 2024.
“Dia terbabit sejak 2024 dengan peranannya membawa dadah keluar dari negara ke beberapa destinasi mengikut jadual penerbangannya. Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya pada Ahad.
![]()
Sebelum ini, pasukan JSJN dilaporkan telah ke Jakarta bagi bertemu dan menjalankan soal siasat terhadap suspek. Sesi berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Rabu dan Khamis, namun dilanjutkan sehingga Jumaat selepas mendapat kebenaran daripada Polis Republik Indonesia (POLRI).
Suspek ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam, 29 Julai lalu, sejurus tiba di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan MH727.
Penahanan dibuat selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi suspek sebagai mencurigakan menerusi imbasan sinar-X. Suspek kemudian diarahkan ke bilik pemeriksaan selepas mengambil bagasinya untuk pemeriksaan lanjut.
![]()
Hasil pemeriksaan menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram di dalam bagasi tersebut. Pemeriksaan turut menemukan kira-kira empat gram syabu dalam barangan yang dibawa suspek.
Hussein berkata, maklumat diperoleh sepanjang soal siasat turut membantu pihak berkuasa mengenal pasti beberapa rangkaian sindiket dadah yang dipercayai beroperasi di Malaysia dan negara lain, termasuk Indonesia. Katanya, polis akan meneruskan siasatan terhadap individu serta anggota sindiket yang dikenal pasti, termasuk meneliti aliran kewangan berkaitan aktiviti penjualan dadah.
Maklumat mengenai rangkaian sindiket antarabangsa berkenaan juga akan diserahkan kepada agensi penguatkuasaan dadah di negara terbabit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Dalam perkembangan sama, siasatan setakat ini tidak menemukan petunjuk wujudnya penglibatan orang dalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu suspek melepasi pemeriksaan.
Hussein berkata, hasil soal siasat mendapati suspek dipercayai bertindak bersendirian ketika melalui pemeriksaan di KLIA. Bagaimanapun, pihaknya masih perlu meneliti bagaimana dadah dalam jumlah besar itu berjaya dibawa keluar tanpa dikesan.
![]()
“Ini bermaksud dia bertindak secara solo ketika melepasi pemeriksaan dan perkara itu perlu diperhalusi bagi mengetahui bagaimana dadah berkenaan tidak dapat dikesan,” katanya.
PDRM setakat ini berpuas hati bahawa tiada penglibatan orang dalam dalam proses berkenaan. Bagaimanapun, Hussein tidak mendedahkan kaedah yang digunakan suspek untuk melepasi pemeriksaan kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
Suspek kini masih berada dalam tahanan POLRI dan perlu melalui proses perundangan di Indonesia. Ketika ditanya mengenai kemungkinan suspek diekstradisi ke Malaysia, Hussein berkata perkara itu bergantung kepada urusan serta keputusan antara kedua-dua negara dan beliau tidak dapat mengulas lanjut.
Sementara itu, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti jumlah penghantaran dadah yang telah dilakukan suspek sejak 2024, negara-negara yang menjadi destinasi serta jumlah bayaran atau upah yang diterimanya sepanjang menjalankan kegiatan berkenaan.
Kredit: Sinar Harian