Seorang lelaki yang didakwa kembali menjalankan kutipan bayaran parkir tanpa kebenaran di Jalan Klang Lama ditahan polis selepas mencetuskan kekecohan ketika Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, bersama beberapa ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) berada di lokasi untuk lawatan penguatkuasaan.

Kutip Parkir Tanpa Kebenaran, Lelaki Ditahan Selepas Didakwa Serang Ahli MPP

Menurut Teresa menerusi hantaran di media sosial, aktiviti kutipan parkir itu sebelum ini telah dikenakan tindakan penutupan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 4 Ogos lalu. DBKL bersama pihak penguatkuasaan turut melakukan lawatan tapak pada tarikh sama dan mengambil tindakan terhadap aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, kutipan parkir tersebut didakwa kembali beroperasi sehingga berlaku pertikaian ketika Teresa dan beberapa ahli MPP hadir ke kawasan berkenaan hari ini. Lelaki terbabit dipercayai mempersoalkan kehadiran Teresa serta meminta penjelasan mengenai pihak yang memberikan kebenaran kepadanya untuk berada di situ.

Situasi kemudian menjadi semakin tegang apabila lelaki itu didakwa berkata, “Kalau nak bergaduh, bergaduh kat luar sebab ini kawasan aku punya tempat kerja, kau jangan sibuk.” Dia turut didakwa menyerang seorang ahli MPP sebelum berkata, “Lu bos ke, gua bos?” ketika cuba ditenangkan oleh beberapa individu di lokasi.

Susulan kejadian itu, polis dipanggil ke tempat berkenaan dan lelaki terbabit kemudian ditahan untuk tindakan lanjut. Teresa sebelum ini turut mendakwa individu sama telah mengingkari arahan penutupan DBKL dengan kembali menjalankan kutipan bayaran parkir tanpa kebenaran.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]