Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kecederaan parah di hampir seluruh anggota badan selepas dipercayai menjadi mangsa serangan sekumpulan anjing liar di kawasan Peserai, Batu Pahat pada Sabtu.
![]()
Kanak-kanak Dua Tahun Cedera Parah Diserang Sekumpulan Anjing Di Peserai
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 7 pagi itu, mangsa dikatakan berada di hadapan rumah keluarganya sebelum diserang sekumpulan anjing yang berkeliaran di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada hampir keseluruhan badan akibat serangan tersebut.
Menurut beliau, ahli keluarga yang menyedari kejadian itu segera membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan.
![]()
“Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Susulan kejadian itu, pihak polis menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan berkaitan kecuaian berkenaan dengan haiwan.
Kredit: Sinar Harian