Sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace dilaporkan terhempas dan terbakar di hujung landasan STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, Sarawak, kira-kira jam 3.40 petang Selasa.
![]()
Lima Mangsa Nahas Helikopter FDS Di Long Lellang Disahkan Meninggal Dunia
Ketika kejadian, helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan rasmi dari Lapangan Terbang Miri ke Long Lellang bagi membawa pasukan kesihatan untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman. Helikopter itu membawa lima individu terdiri daripada juruterbang, seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima notifikasi mengenai nahas berkenaan daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
![]()
Perkembangan terbaharu memaklumkan kesemua lima individu dalam helikopter berkenaan telah disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mereka ialah Kapten Zainol Afiq, juruterbang; Dr Ainul Baroah Kamaruddin, Pegawai Perubatan; Alexson Adit, Penolong Pegawai Perubatan; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang, mengesahkan perkara itu.
![]()
Sementara itu, KKM sebelum ini menghubungi suami Dr Ainul, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kira-kira jam 4 petang bagi memaklumkan kematian isterinya. Adik ipar Dr Ainul, Nureez Mohd Pauzi, berkata berita itu kemudian disampaikan kepada keluarga di Kelantan yang kini sedang membuat persiapan untuk ke Sarawak. Dr Ainul, 32, yang berasal dari Kota Bharu, dilaporkan mula bertugas di sebuah hospital di Miri sejak tahun lalu selepas sebelum ini berkhidmat di Hospital Tanah Merah (HTM).
Dalam perkembangan berkaitan, seorang ahli keluarga turut memohon orang ramai menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat kesemua mangsa, termasuk Kapten Zainol Afiq yang merupakan abang iparnya. Al-Fatihah buat kesemua mangsa yang terkorban.
Kredit: Sinar Harian