Pemuda Harapan Bangi membuat laporan polis terhadap seorang individu berhubung dakwaan bahawa azan Subuh tidak lagi berkumandang di masjid dan surau di Bangi sejak tiga hari lalu.
![]()
Pemuda Harapan Bangi Buat Laporan Polis Dakwaan Azan Subuh Tidak Berkumandang 3 Hari
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi susulan dakwaan berkenaan yang disebarkan menerusi platform TikTok dan turut dikaitkan dengan DAP.
Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tuduhan jahat dan tidak berasas, selain mempersoalkan kesahihannya dengan meminta individu terbabit menyatakan masjid atau surau di Bangi yang didakwa tidak lagi melaungkan azan Subuh. Menurutnya, penyebaran dakwaan sedemikian juga boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
![]()
Syahredzan berkata tindakan membuat laporan polis diambil bagi membolehkan dakwaan tersebut disiasat, selain berharap langkah berkenaan dapat menghentikan penyebaran fitnah politik seumpama itu.
Beliau turut mempersoalkan tujuan dakwaan berkenaan disebarkan dan menyifatkannya sebagai “politik sampah”.
Katanya, laporan polis tersebut diharapkan menjadi langkah untuk menoktahkan penyebaran fitnah politik yang tidak berasas.
Kredit: Facbook Syahredzan Johan