Hasrat seorang warga emas mencari lembunya yang baru dibeli berakhir tragedi apabila dia diserang dan dipijak seekor gajah di kawasan Ladang Lepan Kabu, Kuala Krai, pada kira-kira jam 3.30 petang Rabu.
![]()
Warga Emas Maut Diserang Gajah Ketika Mencari Lembu Hilang di Kuala Krai
Mangsa, Ghazali Setapa, 66, dilaporkan bersama seorang rakannya ketika mencari lembu yang hilang sebelum mereka terserempak dengan haiwan berkenaan. Penghulu Mukim Pahi, Muhammad Khairul Anuar Muhammad Noor, berkata mangsa sempat meminta rakannya beredar dari kawasan tersebut dan memaklumkan penemuan gajah itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Bagaimanapun, gajah terbabit dipercayai sudah mengeluarkan bunyi amaran sebanyak tiga kali sebelum bertindak menyerang mangsa, yang berkemungkinan berada terlalu dekat dengan haiwan tersebut.
![]()
Ghazali disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai selepas dipijak gajah. Anak mangsa, Muhammad Jawal Ghazali, 25, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas abangnya, Muhammad Amin Ghazali, 27, pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 petang dan memaklumkan bahawa bapa mereka telah meninggal dunia akibat serangan gajah.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku, dia sedang tidur di rumah dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan abangnya. Jenazah Ghazali kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk menjalani bedah siasat.
Kredit: Harian Metro